Kisah duka ini ingin benar aku kongsikan bersama anda semua – Rakyat Malaysia yang bertuah, namun masih ADA yang tidak tahu bersyukur. Moga-moga entri ini memberi keinsafan kepada kita semua.
Entri ini aku peroleh melalui blog seorang rakan pensyarah di sebuah institusi pengajian seni di Penang (Buta Seni). Beliau berkata, berita ini diperolehnya menerusi e-mel. Kisahnya begini:
Ribuan penduduk yang kesempitan hidup di kawasan pedalaman Kota Perusuan, Indonesia, berduyun-duyun dan bersesak-sesak demi mendapatkan wang zakat sebanyak Rp 30,000 (RM4.60). Rahmat yang mereka harapkan akhirnya bertukar menjadi musibah, apabila seramai 21 orang daripada mereka telah terkorban.
Sejak awal pagi lagi ribuan penduduk miskin dari pelbagai pelusuk daerah datang berduyun-duyun ke rumah seorang dermawan di sekitar kota itu, setelah mendengar khabar bahawa hartawan, H. Syaichon ingin menunaikan zakat dengan menderma kepada penduduk miskin. Ternyata khabar itu benar. Jadi, dengan sekelip mata daripada puluhan bertukar ratusan dan kemudian ribuan orang memenuhi halaman rumah itu sehingga barisan yang aman dan teratur bertukar menjadi huru-hara.
Barisan yang pada mulanya diatur oleh keluarga dermawan itu terus menjadi sesak sehingga ramai yang dihimpit dan pengsan akibat kekurangan oksigen. Lebih malang lagi sesiapa yang lemah tidak akan terjamin keselamatannya. Akibat itu ramai yang lemas dipijak dan terkorban. Al-Fatihah untuk umat Islam yang terkorban itu.
Walaupun niat dermawan itu sungguh mulia, mungkinkah nyawa-nyawa itu dapat diselamatkan jiwa beliau menyalurkan derma itu kepada institusi yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pungutan Zakat di negara kita. Atau, mungkin juga beliau tidak yakin dengan sistem yang sedia ada dengan institusi pengurusan zakat di negara mereka? Wallahhu’alam.
NOTA PUTERI: Alangkah baiknya jika para dermawan sendiri yang ‘turun padang’ untuk menyerahkan sumbangan kepada pihak-pihak yang diingini/disasarkannya. Syukur ke hadrat Allah Ta’ala atas limpahan rahmat dan rezeki yang diberikan kepada kita di Malaysia. Jika ada yang masih hidup susah, maklumkan kepada pihak yang sepatutnya. Usah diamkan. Jadilah mata dan telinga yang berkesan kepada pemerintah demi kesejahteraan bangsa Malaysia.
Sumber : Yesika Silvi Anastasia,Tangerang – Indonesia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan