Saya ada menulis dalam blog (lain) sebelum ini betapa "terlalu banyaknya hiburan" di negara kita ! Buka sahaja saluran mana sekalipun TV, mesti dipenuhi dengan hiburan yang disajikan oleh anak sekolah, remaja, malah untuk orang tua-tua (atas jenama "pop yeah-yeah"). Ia bukan fenomena hujung minggu, malah hari minggu termasuk Khamis, malam Jumaat. Kemudian bermacam-macam syarikat berebut-rebut untuk menaja konsert yang diadakan di seluruh negara ... dari pekan kecil di pedalaman ke kotaraya seperti Kuala Lumpur, JB dan sebagainya. Juga yang paling menyedihkan, hiburan juga melanda di tempat yang sepatutnya kebal dengan anasir sebagini rupa ... iaitu kampus. Pelajar universiti bersama profesor menyambut dan berhibur dengan penyanyi seolah-olah sudah kekeringan idea untuk menganjurkan aktiviti lain yang "lebih berilmu" ! Saya selama ini berpendapat orang yang sukakan hiburan, kurang minat dengan ilmu dan orang yang cintakan ilmu kurang suka dengan hiburan. tetapi ternyata sangkaan saya meleset. Kenapa ? Kenapa? Kenapa ? Wahai sang profesor apa dah jadi dengan anda ? Persoalan ini kita bicarakan di lain waktu, insayAllah.
Malangnya dari apa yang dapat dilihat sekarang, momentumnya semakin rancak bukan semakin reda. Pada masa yang sama negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah sosial. Buka sahaja muka depan akhbar Harian Metro ... takut untuk kita melihat apa yang berlaku dalam negara. Kita seolah-olah tidak dapat kaitkan bahawa semakin banyak, berlambak dan meluasnya konsert hiburan. Saya harap Pak Menteri ambil perhatian dalam hal ini sebab selagi hiburan dibiar berleluasa, selagi itu masalah-masalah lain yang bersangkutan dengannnya, termasuk hilang minat belajar di kalangan pelajar sekolah akan menjadi semakin parah. Bagaimana kaitannya ... jug akan kita bicarakn di lain ketika.
Saya selalu menyatakan dalam ceramah saya khusus kepada ibubapa agar kawal anak-anak daripada menonton TV berlebihan kerana ia pasti akan menjejaskan prestasi akademik anak mereka yang kini kesempitan waktu untuk belajar selain semakin hilang minat terhadap pencarian ilmu. Saya selalu juga membuat perbandingan betapa "hebatnya TV kita" dari segi hiburan. Kalau negara kita mahu memecah rekod dunia, mungkin di sinilah peluangnya, iaitu menjadikan kita "negara yang paling banyak terdedah dengan hiburan hingga membiarkan rakyatnya ... dari anak kecil ke remaja sehinggalah ke orang dewasa yang leka dengan hiburan !".
Saya pernah menyatakan bahawa kalau dibandingkan dengan mana-mana program TV di mana-mana negara di dunia ... England, Amerika, Kanada, Australia, Itali dan Singapura sememangnya negara kita terkehadapan menyajikan hiburan sehingga melekakan rakyat. Ya memang betul sebab saya sendiri sudah ke negara-negara tersebut. Setiap kali saya ke sana saya sengaja menyemak program TV mereka untuk membuat perbandingan. Kini saya boleh tambah sebuah lagi negara Barat yang dikalahkan oleh Malaysia dalam penyajian hiburan, iaitu New Zealand. Kini saya sedang menghantar posting ini dari Christchurch, New Zealand kerana selain menziarahi anak di Massey University, saya dan isteri juga ambil kesempatan melawat dan menikmati keindahan alam semula jadi negara ini.
Apa pandangan anda ? Sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan saya di atas, saya sedia mendengar termasuk pandangan yang bertentangan (jikalau ada). Kita buka untuk melebarkan idea.
Petikan : Dr. Shukri
drshukri2010.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan