Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam, agama yang menganjurkan umatnya untuk mengeratkan silaturahim dan hidup rukun damai. Kerana itu kita dilarang dari melakukan perkara yang boleh menjejaskan dan merosakkan hubungan baik sesama manusia antaranya bertelingkah, bermusuh-musuhan, bersangka buruk dan sebagainya. Allah Subhanahu Wata'ala ada berfirman di dalam Surah Al� Hujuraat ayat 12 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang".
Maka berdasarkan ayat al-Quran tadi, sesungguhnya sebahagian prasangka itu merupakan perbuatan dosa. Kerana prasangka itu timbul dari perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang, yang kemudiannya akan timbullah tuduhan-tuduhan yang tidak berasas kepada seseorang sehingga menyakiti hati orang tersebut dengan perkataan yang jahat, yang didasari prasangka yang salah tanpa meneliti dan menyelidik perkara yang sebenar.
Kita mestilah ingat, setiap perbuatan yang kita lakukan samada yang baik atau yang buruk itu akan menerima pembalasan di akhirat nanti.
Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan Hari Kiamat, maka kita hendaklah menjaga pertuturan dengan berbicara yang baik atau lebih baik diam.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam".
Muslimin yang berbahagia,
Adapun bagi mengelakkan berburuk sangka, apabila kita menerima sesuatu berita maka kita hendaklah meneliti dan menyelidiki atau bertanya terlebih dahulu tentang sesuatu perkara sebelum membuat sebarang andaian. Allah mengingatkan kita dalam al-Quran, Surah Al Hujuraat ayat 6 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya".
Ketahuilah bahawa berburuk sangka boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini berlaku seperti pertelingkahan dan benci-membenci dan tidak mustahil boleh menyebabkan terputusnya silaturahim, yang akhirnya boleh membawa kerosakkan dalam perpaduan umat Islam. Oleh itu kita hendaklah memelihara diri dari berburuk sangka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Jauhilah oleh kamu prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta perkataan". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Muslimin yang diberkati Allah,
Ulama membahagikan prasangka itu kepada beberapa bahagian, di antaranya :
1) Prasangka yang mendatangkan dosa dan haram
2) Prasangka yang tidak mendatangkan dosa
1) Prasangka yang mendatangkan dosa dan haram
2) Prasangka yang tidak mendatangkan dosa
Adapun prasangka yang mendatangkan dosa dan haram itu ialah prasangka yang tidak baik terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dan juga terhadap orang yang baik (orang yang tidak fasik) dan orang yang tidak melanggar hukum syarak. Sementara prasangka yang tidak mendatangkan dosa itu ialah prasangka yang hanya dalam hati saja tanpa meluahkan atau menzahirkannya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam yang inginkan keharmonian dan kebahagiaan dalam kehidupan, maka sewajarnya kita mengamalkan sifat berkasih sayang dan belas kasihan sesama manusia. Hindarilah dari berburuk sangka yang hanya akan merosakkan perpaduan kehidupan berkeluarga, beragama, bermasyarakat dan bernegara. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat hidup rukun damai, berbahagia hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hujuraat ayat 12 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan