Kanak-kanak harus diawasi terutama dalam keadaan berjerebu kerana mereka mudah dijangkiti penyakit
DALAM keadaan negara berhadapan masalah jerebu hingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) pernah mencecah bacaan 101, kanak-kanak paling mudah diserang batuk dan selsema. Taburan habuk di udara pada tahap bahaya itu dikatakan membawa impak dua kali ganda bagi si kecil penghidap asma.
Asma atau lelah adalah penyakit berkaitan saluran pernafasan yang digolongkan sebagai alahan seperti resdung (allergic rhinitis) dan masalah kulit (eczema). Namun, masih ramai menyamakan asma dengan semput disebabkan simptom serupa terutama kesukaran bernafas apabila terlalu letih.
Pakar Runding Kanak-kanak, Hospital Pakar Putra Melaka, Dr Zainal Abidin, berkata individu yang mengalami semput tidak semestinya mempunyai asma namun kedua-dua gejala ini harus diberi rawatan segera terutama jika membabitkan anak kecil kerana ia memudaratkan untuk kesan jangka panjang.
Katanya, asma mempunyai tanda kekerapan batuk, nafas pendek serta termengah-mengah hingga kedengaran bunyi dada yang seakan bersiul kecil berikutan penyempitan saluran cabang tenggorok di paru-paru manakala semput mungkin petanda awal bagi beberapa penyakit lain.
“Serangan asma berlaku apabila otot pada saluran udara yang menghubungkan hidung dengan paru-paru mengalami kekejangan mengakibatkan saluran itu mengecil hingga sukar bernafas. Semput pula seakan asma tetapi ia berlaku berkemungkinan besar daripada penyakit berkaitan paru-paru seperti pneumonia, bronchitis, anemia, lemah jantung atau fibrosis.
“Kanak-kanak harus diawasi terutama dalam keadaan berjerebu kerana mereka mudah dijangkiti penyakit kesan kehadiran habuk dalam udara. Keadaan kualiti udara yang tidak sihat ini tentu saya meningkatkan risiko serangan asma kepada penghidapnya. Jika perlu, elakkan aktiviti luar dan pakai penutup mulut di kawasan terbuka.
Katanya, benda sensitif yang boleh membawa kepada serangan asma adalah kemunculan habuk, hama, bulu binatang dan asap rokok malah individu penghidap penyakit ini harus diawasi apabila demam kerana dibimbangi mereka alah kepada aspirin atau penisilin. Tekanan juga mempengaruhi asma.
Punca asma
Mengikut kajian kira-kira 10 hingga 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia dijangkiti asma dan berita baiknya, 80 peratus daripada mereka dapat kembali hidup sihat tatkala usia mencecah lima tahun. Penjagaan serta rawatan perubatan dengan mengambil ubat mengikut saranan doktor mampu mengurangkan gejala lelah.
Anak kecil terdedah kepada risiko asma berikutan pendedahan bahan sensitif di sekeliling mereka. Sejarah keluarga yang menghidap alahan terutama asma juga mempengaruhi generasi seterusnya seperti kajian di Kepulauan Atlantik Selatan yang menyatakan satu daripada tiga kanak-kanak daripada ibu bapa asma mewarisi penyakit itu.
Tahap serangan
Serangan yang berlaku pada tahap kronik boleh dikesan menerusi perubahan kesihatan si anak. Ia dapat dipantau menerusi catatan harian yang ditulis dalam carta kawalan asma di rumah. Ia boleh disediakan ibu bapa di rumah untuk mengesan sebarang kelainan yang berlaku kepada anak mereka.
Asma yang teruk dapat dikesan apabila pesakit langsung tidak dapat bernafas seperti biasa walaupun sudah menyedut ubat pembuka saluran udara atau bronchodilator. Ketika itu bibir dan hujung kuku mereka boleh bertukar kebiruan berikutan kurang oksigen disertai peluh, wajah pucat dan pernafasan pendek.
Jika situasi ini berlaku, ubat sedutan (inhaler) tidak dapat membantu sebaliknya pesakit mesti dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut seperti mendapatkan oksigen tambahan.
Rawatan
Terdapat banyak pilihan ubat di pasaran untuk mengurangkan gejala sesak nafas tetapi cara paling baik adalah menjauhkan kanak-kanak daripada faktor risiko yang membawa kepada asma. Kebiasaannya, pesakit akan dibekalkan ubat dalam bentuk tablet, kapsul, cecair dan sedutan.
Begitupun, inhaler paling kerap digunakan pesakit kerana mudah dibawa ke mana-mana selain mampu membuka saluran udara dengan kadar segera. Ubat sedutan yang sering diambil adalah salbotomol, becotode dan pulmicate. Bagi kanak-kanak, mereka dibantu aerochamber, spacer atau baby inhaler.
Terdapat dua jenis ubatan asas untuk rawatan asma iaitu kawalan jangka panjang seperti penggunaan steroid (budesonide) yang digunakan secara tetap untuk mengelak serangan dan kaedah kelegaan serta merta yang digunakan selepas serangan akut termasuk pengambilan respolin.
Cara Mengatasi
Cara No.1
Mereka yang menghidap lelah dan semput seringkali menghadapi masaalah bila termakan makanan dingin seperti rambutan, mentimun dan betik. Untuk ke klinik kita akan mengambil masa dan kos yang tinggi, Oleh itu cubalah petua di bawah: Dua ulas bawang putih-ditumbuk. Tiga sudu minyak masak. Campurkan kedua bahan tadi dan sapu pada leher, dada dan belakang. Dalam masa sepuluh minit kita akan lihat perubahannya.
Sumber: Berita Minggu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan