Pertama: Akan menyebabkan terjatuh kepada SYIRIK BESAR apabila disertai keyakinan bahawa azimat itu sendiri yang memberikan pengaruh selain Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang dapat menolak mudarat dan mendatangkan manfaat, serta membentengi setiap orang yang memakainya. Dan pelakunya telah keluar dari Islam, halal darahnya untuk ditumpahkan dan hartanya untuk dirampas, menyebabkan kekal dirinya di dalam neraka apabila dia mati dan belum sempat bertaubat, serta menyebabkan terhapus (hilang) seluruh amalan yang dilakukan di dalam Islam.
Kedua: Akan menyebabkan terjatuh dalam perbuatan SYIRIK KECIL apabila dia meyakini bahawa azimat itu hanya sebagai sebab semata, manakala yang mendatangkan manfaat dan menolak segala bentuk malapetaka yang menimpanya adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Menjadikan sesuatu sebab yang tidak pernah dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai sebab adalah merupakan syirik kecil. (Lihat Al-Qaulul Mufid 1/204, Al-Qaulul Sadid hal. 38, Fatawa Syeikh Ibnu Baz 2/384)
Dalil-dalilnya adalah dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:
من تعلق شيئا وكل إليه
“Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)
Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:
ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا
“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (HR. Imam Ahmad)
Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, dalam hadis yang marfu’, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :
من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له، وفي رواية : من تعلق تميمة فقد أشرك
“Barang siapa yang menggantungkan Tamimah* maka Allah tidak akan mengkabulkan keinginannya, dan barang siapa yang menggantungkan Wada’ah* maka Allah tidak akan memberikan ketenangan kepadanya.” Dan di dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah berbuat kesyirikan.” (HR. Imam Ahmad)
*Tamimah adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak sebagai penangkal atau pengusir penyakit, pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki seseorang, dan lain sebagainya.
*Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, menurut anggapan orang orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat. (Lihat Kitabut Tauhid karya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah, Fathul Majid 1/650)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan