![]() |
| shw.kacamata.fotopages.com |
JIKA anda ingin menikmati kelainan termasuk melihat bunga mangkuk beruk dan bunga kembang tiga bulan serta menghirup udara segar, bertandanglah bersama keluarga ke puncak Gunung Jerai, destinasi peranginan terkenal di Kedah.
Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi, telinga anda akan dijamu pelbagai bunyi unggas dan serangga hutan serta kicauan merdu sang burung yang girang hidup di hutan rimba.
Gunung Jerai di daerah Yan, Kedah adalah gunung tertinggi di utara Semenanjung. Di puncak gunung itu pelbagai kemudahan disediakan oleh Kedah Resort Sdn Bhd, termasuk 30 unit chalet dan bilik penginapan dengan bayaran antara RM40 dan RM110 semalam.
Persekitaran kawasan chalet seluas kira-kira empat hektar itu dihiasi dengan landskap menarik dan diserikan pelbagai bunga berwarna warni, manakala mereka yang gemar mandi air terjun pula boleh menikmati kedinginan anak sungai yang melimpah dari puncak gunung itu.
Chalet yang diperbuat daripada kayu dengan reka bentuk kolonial pernah dijadikan rumah rehat ketika pemerintahan British dulu, kini menjadi tarikan bagi mereka yang meminati seni bina berkenaan. Pengunjung dapat berehat menenangkan fikiran sambil menghirup udara gunung yang tidak tercemar sambil melihat keindahan kawasan sawah padi yang terbentang luas saujana mata memandang dari aras yang tinggi itu
ika cuaca cerah dan tidak berawan, pengunjung yang bangun awal berpeluang menikmati keindahan pagi apabila sang suria menampakkan wajahnya, manakala pada waktu senja pula, pandangan pastinya tertumpu di ufuk barat untuk melihat mentari terbenam.
Selain itu, bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, mereka boleh meredah hutan melalui denai yang ada sambil menikmati keindahan dan keunikan flora dan fauna hutan tropika di tanah tinggi itu.
Alangkah seronoknya berjalan di bawah payungan pokok hutan yang rimbun. Pastinya kepenatan tidak terasa kerana suasana di situ sentiasa dingin dan udaranya nyaman.
Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi, telinga pula dijamu dengan pelbagai bunyi serangga hutan serta kicauan merdu sang unggas yang girang hidup di hutan rimba.
Kordinator Peranginan Gunung Jerai, Md Zaki Mohd Isa berkata, antara bunga yang kerap menjadi daya tarikan pengunjung di situ ialah bunga kembang tiga bulan yang warnanya bertukar setiap bulan iaitu putih, unggu dan kemerah-merahan.
Bunga kembang tiga bulan hanya terdapat di Gunung Jerai dan inilah keistimewaan pusat peranginan ini.
"Bunga ini tahan lama dan berkembang selama tiga bulan, dipercayai bunga paling lama berkembang jika dibandingkan dengan bunga ros dan lain-lain dalam spesiesnya," tegas Md Zaki.
"Jika ditanam di tempat lain ia tidak menjadi dan jika hidup pun ia tidak akan subur dan cepat mati, tidak seperti di habitat asalnya di sini yang bunganya boleh mekar selama tiga bulan.
"Ramai pengunjung kehairanan melihat bunga ini malah ada yang meminta benihnya dan tidak kurang pula ingin membelinya bagaimanapun ia hanya sesuai tumbuh di puncak gunung ini," katanya.
Selain landskap, pengunjung boleh mengikuti program meredah hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) termasuk merentas hutan yang berlurah sebelum mandi di air terjun.
"Disebabkan Gunung Jerai semakin popular sebagai pusat percutian, kita mempunyai rancangan untuk menambah jumlah bilik dan chalet selain meningkatkan lagi kemudahan lain," katanya.
Setiap hujung minggu, kata Mohd Zaki musim cuti persekolahan dan cuti umum perayaan Gunung Jerai pasti menjadi tumpuan pengunjung yang ingin merehatkan fikiran di tanah tinggi.
"Bukan saja rakyat tempatan yang berminat datang ke Gunung Jerai, malah pelancong dari Eropah dan Singapura tidak ketinggalan mahu menikmati keindahan alam semula jadi di sini," katanya.
Bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan termasuk untuk mengadakan hari keluarga, beberapa kemudahan disediakan di situ termasuk dewan seminar dan aktiviti bersukan seperti badminton, bola tampar dan takraw.
Katanya, pengunjung boleh naik ke gunung itu menggunakan kenderaan sendiri dengan melalui jalan berliku-liku sejauh 12 km dari kaki gunung.
"Sekiranya tidak mahu memandu kenderaan sendiri, pengunjung boleh menaiki van dari kaki gunung itu dengan dikenakan bayaran berpatutan,

Tiada ulasan:
Catat Ulasan