![]() |
| Imej:my-rummy.com |
Terletak di barat daya Pahang, Tasek Bera adalah sebuah sistem tasik air tawar sepanjang 35 km dan selebar 20 km yang mengalir ke Sungai Pahang melalui Sungai Bera. Ia merupakan tasik air tawar terbesar di Malaysia yang juga unik dan terpencil. Dikelilingi hutan dipterokarp tanah rendah yang kering, persekitaran tasik ini mencapai kawasan-kawasan hutan paya gambut. Ekosistem Tasek Bera kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan dan juga menjadi tempat tinggal orang Asli suku Semelai di sekitar kawasan tanah lembap.
Tasik ini menjadi fokus kajian saintifik dan dilindungi di bawah undang-undang kerajaan Malaysia dan antarabangsa. Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan sebuah program 3 tahun dengan bantuan kewangan kerajaan Denmark dan bantuan teknikal dari Wetlands International Asia Pacific.
![]() |
| Imej:impressions.com.my |
Waktu terbaik untuk melawat Tasek Bera bergantung kepada musim hujan dan kering yang berlaku di sini. Adalah dinasihatkan supaya pengunjung datang selepas musim hujan kerana tasik ini akan menjadi lubuk pemancing yang baik selepas hujan lebat. Musim kering berlaku antara bulan Februari hingga April dan Jun hingga Ogos. Tasik ini dizahirkan oleh pemandangan air yang didominasi daun-daun pandanus yang mengelilingi terusan-terusan sempit yang menghala ke tasik. Pelbagai spesies paku pakis, anggerik dan tumbuhan menumpang dapat dilihat di batang dan dahan pokok, sementara batang-batang rotan berduri berlingkar di lantai hutan. Berdozen periuk kera berwarna hijau dan merah tumbuh di rumpunan ‘reed' dan hutan tebal di tengah tasik.
Tasik ini dan kawasan sekitarnya menjadi tempat pelindungan lebih daripada 200 spesies burung, 50 mamalia dan 90 spesies ikan. Kawasan hutan tanah rendah yang kaya dari segi biologi, dengan kepelbagaian, menjanjikan peluang yang banyak untuk aktiviti ‘jungle trekking' dan pemerhatian alam semulajadi.
Melalui Persatuan Pemandu Bot dan Pelancong Semelai Tasik Bera (Sabot) yang baru ditubuhkan setahun lalu, para pengunjung boleh menggunakan khidmat kemudahan pelancongan dengan bayaran berpatutan seperti menyewa bot, pemandu pelancong, perahu jalur dan kawasan tapak perkhemahan.
Sabot menyediakan 18 pemandu pelancong berlesen dan berpengalaman untuk memenuhi keperluan pengunjung di sana.
Lebih menarik, mereka terdiri daripada golongan muda yang mahir dari segi sejarah dan kepercayaan kaum Semelai tentang kewujudan Tasik Bera yang dipercayai berkait rapat dengan kewujudan naga di kawasan itu.
Di samping itu, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti rekreasi di sana walaupun sewaktu menyusuri kawasan tasik yang dipenuhi tumbuhan kercut dan rasau dengan bot sebagai perhubungan utama.
Ketika dalam perjalanan itu sendiri misalnya, pengunjung tanpa disedari sebenarnya mula didedahkan dengan corak kehidupan seharian Orang Asli yang tinggal di tebing tasik selain melihatnya secara dekat ketika berada di Kampung Jelawat atau Kampung Benal.
Bagi pengunjung yang berminat untuk menyaksikan unggas, serangga atau hidupan tasik seperti buaya, ia boleh dimanfaatkan dengan menyusuri perlahan-lahan kawasan paya pada waktu malam.
Bagi mereka yang menggemari ketenangan dan kesegaran udara hutan, Sabot turut menyediakan perahu jalur bagi membolehkan pengunjung menyusuri sungai yang dikelilingi hutan paya dari jeti Pos Iskandar ke Kampung Jelawat.
Untuk merasai kehidupan tradisional masyarakat Orang Asli, pengunjung bolehlah bermalam di jungle camp milik Sabot di hutan Chenderoh yang jaraknya kira-kira sejam perjalanan menaiki bot dari Pos Iskandar atau kira-kira setengah jam dari Persona Lake Resort.
Kepada kaki pancing terdapat 28 buah lubuk di Tasik Bera terutama Lubuk Kuin yang merupakan kawasan paling popular kerana di situ sahaja terdapat sekurang-kurangnya 94 spesies ikan air tawar.
Antaranya ialah toman, baung, keli, haruan, lampam belida, tapah, sebarau, jelawat, stem termasuk kelisa.
Melalui aktiviti rentas hutan di hutan Chenderoh pula, para pengunjung akan diberikan pendedahan mengenai khazanah rimba seperti tumbuhan herba tongkat ali, jenis-jenis akar kayu, pokok hutan berharga seperti gaharu dan cendawan.
Sebagai kenangan sepanjang berada di Tasik Bera, cenderamata dalam pelbagai bentuk kraf tangan dari tumbuhan paya dan hutan boleh didapati di Pos Iskandar dan Persona Lake Resort Bera dengan harga yang berpatutan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan