Gula Melaka atau dikenali juga dengan nama Gula Tuak banyak terdapat di Melaka. Gula Melaka diperbuat daripada air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan Gula Melaka ini berbeza dengan gula tiruan yang berada di pasaran kini.
Proses membuat Gula Melaka bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia terpaksa melalui tiga peringkat pemprosesan. Seseorang yang pakar dalam membuat Gula Melaka dapat mengenal pasti kelapa yang dapat menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi
mendapatkan Gula Melaka yang bermutu tinggi.
Peringkat pertama dalam menghasilkan Gula Melaka ialah dengan menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai ‘penyadap’ untuk mengambil nira kelapa. Setelah itu, mayang kelapa dilenturkan dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Ianya dilenturkan sedikit demi sedikit dan proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah. Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang 1 kaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripda menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai air tuak.
Pada peringkat kedua proses memasak Gula Melaka selama empat jam. Pada peringkat ini pengawasan dan pengalaman penting bagi mneghasilkan gula yang baik. Tempat memasak gula Melaka dikenali sebagai sebagai ‘sabak’. Api sabak mesti dijaga agar tidak terlalu besar ketika gula mulai pekat dan mengeluarkan buih yang berwap panas. Nyalaan api tidak boleh dibesarkan lagi di peringkat ‘bunga sena’ di mana keadaan gula telah menjadi agak pekat dan mengeluarkan banyak buih dan mula dikacau perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.
Peringkat terakhir ialah bagi memastikan setelah cukup ukuran kepekatannya dan gula masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi 3 inci, tidak tertutup di kedua-dua hujungnya dan tabung tersebut diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula tersebut dikeluarkan daripada bekas tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan