Terdapat banyak resepi dan cara memasak nasi kerabu….ia berbeza mengikut asal tempat malahan juga telah banyak dipengaruhi oleh negeri-negeri lain. Di Kelantan sendiri, nasi kerabu Kota Bharu berbeza dengan nasi kerabu Pasir Putih atau Tanah Merah…walaupun rasanya hampir sama , namun lauk pelengkap dan presentationnya akan berbeza dan kadang-kadang banyak terpengaruh dengan resepi dari Siam/Selatan Thailand. Begitu juga nasi kerabu sangat penting di kawasan Tumpat dimana ia bukan sekadar dihidangkan pada waktu pagi atau untuk makan di rumah tetapi juga untuk upacara cukur jambul atau tahnik.
Walaupun sudah bermacam jenis dan variety nasi kerabu telah saya rasa, namun selera saya tetap pada nasi kerabu masakan arwah nenek yang sungguh simple. Mungkin faktor air tangan beliau dan juga lidah kita yang sudah terbiasa. Sebagai mengenang masakannya, di sini saya sajikan resepi turun-temurun nasi kerabu Kampung Bukit Abal, Pasir Putih Kelantan.
Sambal Kelapa
Bahan-bahannya:
Sebiji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
5-6 ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)
6 ulas bawang merah
10-15 biji lada hitam
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa (kena lebih sikit gula dan garamnya…jangan takut untuk rasa yang lebih ummmph)
Cara:
Tumbuk halus/lumat semua bahan. Gaulkan hingga sebati/mesra. Sudah siap, tekan-tekankan hingga rapat dan disendukkan ke dalam pinggan waktu menghidang nanti.
Sambal Tumis
Dua paket kecil santan/ agak-agak 1 atau 11/2 biji kelapa
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
3-4 batang serai
5-6 biji cili kering
Gula/gula melaka
Asam keping/asam jawa
Budu
Garam- hati-hati dengan garam, jika kuah telah masin dengan budu, garam tidak perlu.
Cara memasak:
Masukkan santan dalam periuk. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau.
Mesinkan semua bahan kecuali asam keping. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi bersama asam keping. Kacau sekali-sekala.Masukkan gula,budu dan garam. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. Rasanya mesti masam, manis dan masin.
Sayur Ulam
Bahan-bahannya:
Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun Kesum
Taugeh
Racik halus-halus dan gaul bersama.
Ulam sebenar/asal
Pucuk Serai Kayu/ Pucuk Salam?
Kacang Panjang
Daun Kesum
Timun
Bunga Kantan
Air Lada (Jika masak nasi kerabu hitam)
10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.
Nasi
Boleh memasak nasi biasa.
Boleh masak nasi warna biru( gunakan pewarna atau bunga nasi kerabu0
Boleh masak nasi berwarna kuning
Boleh masukkan serai dan daun limau purut untuk mewangikan nasi dan menambahkan selera.
Budu
Perahkan asam limau nipis (paling sedap limau kerat lintang tapi hanya ada di Kelantan)
Lenyekkan cili padi.
Pilihan Side dishes: (bagi saya cukup dengan keropok goreng je, baru betul-betul menikmati rasa sambal kelapa dan tumis tadi…)
Solok lada
Daging/ayam bakar
Keropok goreng
Telor asin
Cara memasak nasi kerabu ni memang remeh, tetapi bila sudah biasa ia jadi ringkas dan berbaloi-baloi.
wanzafalis

Tiada ulasan:
Catat Ulasan