Tuntutan Menunaikan Haji
Haji bermaksud mengunjungi Baitullah Al-Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai’e danwukuf di Arafah dengan menunaikan segala wajib haji dan mematuhi syarat-syaratnya. Ibadah haju diwajibkan sekali sahaja seumur hidup ke atas setiap orang Islam yang sudah baligh, berakal, merdeka, berkuasa sama ada lelaki atau perempuan.
Badal Haji atau dimaksudkan mengerjarakan haji ganti, oleh orang yang masih hidup yang telah mencukupi syarat-syaratnya untuk seseorang yang telah meninggal dunia tetapi masih tertanggung ke atasnya kewajipan haji fardhu yang belum ditunaikan semasa hayatnya, atau untuk orang yang tidak mampu mengerjakan fardhu haji disebabkan sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.
Kedu-dua keadaan ini membolehkan orang lain mengerjakan Badal Haji bagi pihak mereka sama ada dengan upah atau mengerjakannya secara sukarela (tiada upah) seperti anak mengerjakan haji untuk menggantikan ibu atau bapanya yang telah meninggal dunia.
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya pelaksanaan badal haji ini memenuhi kehendak syarak iaitu:-
i. Syarat-syarat Bagi Mereka Yang Memerlukan Badal Haji
Badal Haji hanya dapat dilaksanakan bagi pihak mereka yang disahkan tidak mampu melaksanakan ibadat haji menurut syarak. Ketidakmampuan ini termasuklah seseorang itu telah meninggal dunia, dikurung (dipenjara atau sebaganya), mengidap penyakit yang tidak akan sembuh, mengalami kecacatan fizikal seperti buta (jika tidak mampu mengadakan pemandu) dan usia tua yang tidak mampu melakukan ibadat haji serta menempuh perjalanan yang jauh.
ii. Syarat-syarat Bagi Pelaksana Badal Haji
Badal Haji hendaklah dilakukan oleh orang yang telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri terlebeh dahulu.
iii. Syarat-syarat Sah Badal Haji
a. Mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu mendapat keizinan daripada individu yang tidak mampu menunaikan ibadat haji tersebut jika masih hidup. Jika dia sudah meninggal dunia, mereka tidak memerlukan sebarang keizinan atau wasiat daripada si mati di dalam menunaikan Badal Haji tersebut.
b. Perbelanjaan atau upah bagi melaksanakan Badal Haji ini hendaklah diambil daripada harta mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji. Jika dia meninggal dunia, ia boleh diambil daripada sebahagian atau keseluruhan harta peninggalannya.
Imam An-Nawawi menjelaskan melalui tulisan beliau di dalam Raudhatut Talibin, Badal Haji dilakukan dalam dua keadaan bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang harta atau si mati yang tidak mempunyai harta peninggalan. Dua keadaan tersebut ialah:
i. Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (ajnabi) memberi bantuan kewangan dalam bentuk upah menunaikan Badal Haji. Bantuan kewangan yang diberi ini dianggap sebagai sedekah.
ii. Anak-anak, cucu-cucu dan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan (anjabi) tersebut boleh menunaikan sendiri Badal Haji ini dengan syarat:
1. Sudah menunaikan ibadat haji;
2. Ia ditunaikan oleh mereka yang boleh dipercayai dari segi syarak; dan
3. Tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan ibadah haji.
c. Berniat menunaikan haji bagi pihak mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji tersebut atau si mati seperti: “Sahaja aku berniat menunaikan haji bagi pihak si fulan bin si fulan dan berihram dengannya kerana Allah S.W.T.”.
Disamping itu, sekiranya dia berniat melakukan Haji Qiran sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka ibadat haji tersebut tetap sah dan diterima dari sudut syarak. Akan tetapi, jika dia berniat melakukan Haji Tamattu’ sedangkan dia telah diupah bagi melakukan Haji Ifrad, maka haji tersebut tidak sah.
d. Seseorang yang menerima upah Badal Haji perlu melaksanakannya dengan dirinya sendiri (jika akad Ijarah ‘Ainiyyah). Sekiranya dia sakit atau mempunyai halangan untuk melaksanakannya, dia boleh mewakilkannya kepada orang lain (jika akah Ijarah Zhimmiyyah) sekiranya mendapat keizinan daripada pengupah; atau pengupah melafazkan akan secara umum.
e. Para ulamak bersepakat bahawa mereka yang melaksanakan Badal Haji perlu melaksanakannya dari miqat mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji atau si mati tersebut.
f. Seseorang pelaksana Badal Haji hanya boleh menerima satu upah perlaksanaan Badal Haji bagi setiap musim haji.
Seseorang pelaksana Badal Haji tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membatalkan ibadat hai yang sedang ditunaikan seperti bersetubuh dan sebagainya. Jika perbuatan tersebut tetap dilakukan, dia wajib mengadhaka’kan ibadat haji yang telah terbatal.
Berdasarkan penerangan ringkas diatas, adalah jelas syarak telah mengaturkan satu prosedur bagi membolehkan ibadah haji ditunaikan bagi pihak mereka berhalangan untuk menunaikan ibadah haji. Sebagai umat Islam, kita sepatutnya menambah pengetahuan kita tentang Badal Haji kerena ianya merupakan amalan penting dan dituntut oleh Islam.
Disunting dan disusun oleh: Hj Lokman Hashim, Penerbit Al-Mizan Online
Sumber: Suara Masjid Wilayah Persekutuan/JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan