Ada sesuatu perkara yang kita sering terlepas pandang apabila kita cuba untuk memajukan diri seseorang, Perlu kita ingat, terdapat kesan buruk dan kesan baik dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Cuba kita fikirkan akan satu pepatah yang saya fikirkan memang berkesan jika diamat-amati. Ianya berbunyi "Jika kita hendak memberi ikan kepada seseorang, sebaik-baiknya ajarkan ia cara memancing, kerana jika kita terus-menerus memberikan ikan, maka lama kelamaan dia akan menjadi malas kerana sentiasa berharap agar kita terus mendapatkan ikan untuknya. Dan tatkala kita gagal untuk mendapatkan ikan untuknya sudah tentu dia akan menjadi hilang punca dan tidak tahu berbuat apa-apa."
Sesungguhnya banyak iktibar yang boleh didapati dari kata-kata diatas dan kesannya pun sudah mula kelihatan di sekeliling kita. Sebagai contoh dalam proses untuk meneruskan pelajaran. Sepertimana yang kita ketahui banyak sumber-sumber bantuan kewangan yang terlalu mudah ditawarkan kepada kita, sehinggakan kita tidak perlu lagi memeningkan kepala memikirkan bagaimana untuk memperolehi kewangan bagi membiayai kos pelajaran tersebut. Disini sebenarnya terdapat beberapa kesan jangka panjang bagi diri kita dan diri pelajar itu sendiri. Berbeza pula dengan keadaan sekiranya punca kewangan itu diusahakan dari titik peluh kita sendiri, sudah tentu kita atau pelajar itu sendiri akan menghargai setiap ringgit yang keluar dari hasil usahanya. Maka sudah tentu semangat untuk berjuang itu adalah lebih berbanding dengan cara yang pertama tadi.
Begitulah juga kesannya dengan dunia perniagaan. Mungkin kita sudah terlalu dimanjakan dengan bantuan-bantuan dan subsidi-subsidi. Ekoran dari itu sifat menghargai, menyayangi terhadap kerjaya kita akan menjadi kurang tanpa kita sedari.
Berbeza pula dengan dunia mereka yang dibesarkan tanpa terlalu banyak bantuan. Semangat jati diri mereka akan menjadi kuat dengan sendirinya kerana mereka sudah terasuh sedari mula lagi. Mereka boleh berfikir dan bergerak dengan sendirinya walaupun tanpa dibantu.
Fikir-fikirkanlah.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan