"Carilah dunia sekadar keperluanmu nescaya engkau akan merasa kemanisan akhirat" - "Janganlah terlalu berharap kepada sesuatu yang belum pasti, kelak engkau akan kecewa sekiranya tidak kesampaian " - "Janganlah kita berbangga dengan apa yang dimiliki segala yang ada didunia ini adalah milik Allah S.W.T. Kita cuma meminjamnya seketika" - "Teguran dengan cara yang lembut itu adalah lebih berkesan dari menggunakan kekerasan" - "Jadilah seperti air yang dapat menyejukkan dan janganlah menjadi api yang sentiasa memanaskan" - "Buatlah sesuatu itu dengan keikhlasan nescaya engkau akan terasa kemanisannya" - "Berusahalah untuk melembutkan hatimu nescaya hatimu akan hidup semula" - "Permudahkanlah urusan saudara-saudaramu, nescayalah Allah akan mempermudahkan urusanmu" - "Hindarilah diri dari sifat tergopoh gapah kerana ianya akan menghapuskan sifat sabar" - "Jangan engkau berdebat dengan orang yang jahil kerana ia mungkin akan merosakkan akhlakmu" - "Jika engkau melihat keburukan seseorang nescaya jiwamu tidak akan tenteram kerana engkau akan membencinya, maka lihatlah kebaikannya" - "Janganlah engkau memecut kenderaan untuk mengejar lampu isyarat hari ini, kerana esok, lusa dan seterusnya engkau tetap juga akan menempuhnya" - " Bersyukurlah Jika kita berada dalam kemiskinan, kerana ianya akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah " - "Tuntutlah ilmu selagi kita masih hidup, kerana menuntut ilmu itu wajib" - "Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur" - "Cara yang terbaik ketika berhadapan dengan orang yang sedang marah ialah dengan berdiam" - "Jika engkau mencintai dunia nescaya akhirat akan membencimu dan jika engkau mencintai akhirat nescaya akhirat akan membencimu" - "Barangsiapa diuji lalu bersabar, diberi lalu bersyukur, dizalimi lalu memaafkan dan menzalimi lalu beristighfar maka bagi mereka keselamatan dan mereka tergolong orang-orang yang memperoleh hidayah. (HR. Al-Baihaqi)" - "Kalangan kamu yang paling baik, ialah mereka yang paling baik akhlaknya – Bukhari dan Muslim" – "Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak." - "Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu" - "Salah satu rahsia untuk kekal sihat ialah dengan sentiasa berwajah manis" - "Untuk berjaya antaranya janganlah sesekali membaca buku-buku yang boleh menimbulkan prasangka buruk, putus asa dan hilang harapan" - "Sesungguhnya Ibu dan Bapa kita hanya ada satu didunia ini, maka hargailah mereka sementara mereka masih ada" - "Ingatlah bahawa tiada rezeki yang datang bergolek" - "Belajarlah mengasihi kucing kerana ianya adalah kesayangan Nabi Muhammad SAW " - "Orang yang rajin berfikir mempunyai sehingga 1,000,000,000,000 sel otak. Semakin kerap kita berfikir semakin banyak sel otak terbentuk" - "Janganlah sekali-sekali kita mengkhianati janji yang telah kita buat kerana disitu terletak nilai peribadi kita" - "Sayangilah kedua Ibubapa mu, nescaya Allah akan menyayangimu" - "Setiap tindakan kita umpama membaling bola kelangit, semakin kuat kita membalingnya maka semakin kuat ia mendapatkan kita semula" - "Tiada sesuatu pun yang kekal di alam ini semuanya akan musnah melaikan Allah" - "Tiadalah yang lebih membahagiakan jiwa kedua Ibubapa selain daripada melihat anak-anaknya mentaati suruhan Allah" - "Salam Sejahtera & Selamat Datang Kepada Adik-adik Semoga Sentiasa Ceria” - "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang lemah lembut terhadap semua orang" - "Berbuatbaiklah kepada kedua Ibu Bapa nescaya Allah akan menyayangimu" - "Beruang membesar melebihi berat manusia. Tetapi berat anak beruang yang baru dilahirkan lebih kecil daripada tikus" - "Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ketanah juga""Hiduplah bersama Al'Quran baik dengan menghafal, membaca dan mendengarnya kerana ia adalah penawar yang paling mujarab bagi menghilangkan kesedihan dan kedukaan" - "Ingatlah sehari selembar benang lama kelamaan akan menjadi kain juga" - "Carilah sesuatu itu kerana keperluan dan bukannya kemahuan" - "Tahukah anda bahawa buah tomato boleh menawarkan rasa garam didalam masakan" - "Ingatlah ketika kita marah sebenarnya syaitan sedang bersorak dan bertepuk tangan melihat gelagat kita" - "Mendapat sesuatu yang sedikit itu lebih baik daripada tiada langsung" - "Ketahuilah bahawa sebahagian dari perlakuan anak-anak itu adalah cermin kita" - "Terlalu bergantung dengan ubat antibiotik akan melemahkan sistem pertahanan badan semula jadi" - "Sedarilah bahawa pengorbanan seorang Ibu itu terlalu tinggi hingga sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri, asalkan anaknya bahagia" - "Hargailah setiap pemberian itu dengan sebaik-baiknya walaupun ianya tidak menggembirakan namun sekurang-kurangnya ia menggembirakan hati sipemberinya" - "Sebaik-baik pekerja ialah orang yang kurang bercakap tetapi banyak bekerja" - "Banyak kesilapan yang kita lakukan hasil daripada kecelaruan minda kita sendiri" - "Niatkanlah sesuatu pekerjaan yang baik itu kerana Allah nescaya kita akan memperolehi keuntungan untuk dan akhirat" - "Untuk mencipta Rumahku Syurgaku sememangnya amat payah sehinggakan ramai yang berputus asa dan membiarkan sahaja bahtera kehidupannya hanyut dibawa arus" - "Jika engkau diuji dengan kesedihan maka bersabarlah, kerana kemungkinan Allah ingin memberikan sesuatu yang mengembirakan engkau" - "Pastikan anda membuka tingkap terlebih dahulu sebelum memasuki kereta yang terjemur kerana udara panasnya mengandungi toksid yang merbahaya" - "Janganlah engkau mengguris hati kedua Ibu Bapa mu sekalipun dengan perkataan AH" - "Permudahkanlah urusan seseorang nescaya Allah akan permudahkan urusanmu" - "Kahwinilah seseorang itu kerana Agamanya" - "Sesungguhnya bersedekah itu akan menambahkan rezeki & menghindarkan dari penyakit" -"Jika kekayaan yang dicari nescaya engkau tidak akan pernah merasa cukup melainkan dengan bersyukur dengan apa yang sedang berada ditanganmu" - "Ingatlah bahawa matlamat sebenarnya hidupnya kita didunia ini tidak lain hanyalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah" - "Jika selama ini kita menjadi orang yang banyak menerima, maka jadilah pula kita sebagai orang yang banyak memberi" - "Ketahuilah bahawa harta dunia yang banyak akan hanya menyukarkan perjalanan ke Syurga diakhirat kelak" - " - "Jika kamu mengejar dunia nescaya kamu akan letih kerana dunia akan terus berlari mempermain-main kamu" - "Seseorang itu tidak akan mendapat ketenangan dalam hidupnya selagi terdapat sikap ego walaupun sedikit" - "Salah satu cara untuk mengenali situasi jiwa seseorang ialah dengan cara melihat bagaimana ia memandu kenderaannya" - "Orang yang rakus tidak akan memperolehi ketenangan dalam hidupnya" - "Sedekat-dekat manusia dengan Allah ialah ketika sujudnya" - "Ketika engkau berada dalam kesusahan, maka janganlah berduka, kerana sesunggunya pada ketika itu ada insan yang lebih susah darimu" - "Ucapkan Allhamdullah setiap kali bangun dari tidur kerana kita masih lagi diberi peluang melihat dunia" - "Hidup ini hanyalah sementara, maka carilah sesuatu didalamnya yang boleh dibawa untuk Akhirat" - "Janganlah bersedih kerana setiap kesengsaraan itu adalah ujian dari Allah yang akan menaikkan darjat kita disisinya." - “Salam Sejahtera Dan Selamat Datang Kepada Pengunjung-pengunjung Semoga Sentiasa Diberkati Allah SWT”

YANG MENARIK

Rujukan Semasa

Untuk Pembelian Rumah Mesra Rakyat SPNB Dail 1300-80-3838

Kosmo Online

TAJUK PILIHAN

17 Ogos 2010

Berbaik Sangka

Segala puji Bagi Allah Yang Maha Pengampun segala kesalahan dan Maha Menerima taubat hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Sama-samalah kita berlumba membuat kebajikan dan amalan soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok sebagaimana firman Allah Ta’ala (yang bermaksud): “Hari yang tidak berguna harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.[Surah Asy-Syu’ara’ 88-89]

Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, kasihan belas, ukhuwwah, berkasih sayang dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengekalkan hubungan dan ikatan sesama insan seteguh cerucuk yang ditanam dan sekukuh bangunan yang dibina, kita hendaklah bertemu manusia dengan dada yang lapang, hati yang bersih dan muka yang manis. Seterusnya kita hendaklah berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia, menjauhkan sikap memandang serong kepada amalan orang, pegangan (aqidah) dan perkataan mereka.

Jika diperhatikan hubungan sesama muslim, kita akan dapati satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang tercarik dan simpulan ukhuwwah yang terungkai, disebabkan oleh sangkaan dan prasangka buruk, syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.
Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus, tuduhan-tuduhan seperti; ‘pulan bermaksud begini’, ‘niat si pulan begini’, ‘maksud perbuatan atau perkataannya begini’… perkara seperti ini, semuanya lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan ukhuwwah, memutuskan tali kekeluargaan, menanamkan sifat ragu dikalangan individu dan masyarakat. Bahkan berapa banyak yang telah kita dengar peristiwa besar dan bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat (su’ uzzan) yang diletakkan bukan pada tempatnya.
Apabila penyakit su’ uzzan menular ke dalam diri, ianya akan membawa kepada; terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’ uzzan sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama muslim dibina di atas sikap prasangka su’ uzzan, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.

Menebalnya sikap prasangka su’ uzzan akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.
Zan atau sangkaan terbina di atas asas agakan atau satu perkataan atau amalan yang diragukan. Zan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu Zan akan menguasai dirinya juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan dapati orang yang bersikap prasangka akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya.

Bahkan sehingga salam yang diucap oleh seorang muslim kalau telah dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan, demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian atau sinisan, pujian dan pemberian hadiah juga boleh disalah ertikan dengan berbagai anggapan yang akan membawa kepada perbalahan dan perselisihan.
Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain”. [Al-Hujurat: 12].

Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan: ‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain”. Jika mereka berkata: ‘Saya telah pastikannya dengan tidak mencari keaiban’. Katakanlah: “Janganlah kamu mengumpat di antara satu sama lain”.

Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan”. Seruan kepada orang-orang mukmin, menyeru agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain. Dengan ini Al-Quran telah membersihkan hati dari terkena kotoran prasangka yang akan membawa dosa, biarlah hati terus bersih daripada sebarang syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya hidup di dalam masyarakat yang bersih dari prasangka.
Berkata sebahagian ulama’: “Perkara yang membezakan syak atau sangkaan yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap keraguan yang tidak ada tanda yang sahih serta sebab yang nyata adalah haram, wajib dijauhi. Iaitu jika sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya, maka meyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan”.
Ini kerana kebanyakan ulama’ berpendapat: “Tidak boleh berprasangka buruk kepada orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik”.

Dari Sa’id bin Al-Musayyib rh katanya: ‘Telah menulis kepada saya beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah saw: Hendaklah engkau meletakkan urusan/perkara saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada seorang muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih ada peluang untuk menjadikannya baik’.
Manhaj ini sangatlah dituntut apabila berdepan dengan orang yang mempunyai kelebihan dan kebaikan (ulama’, pendakwah dan lain-lain), ini adalah termasuk dalam fiqh Al-Maqasid dan niat, yang mungkin tidak disedari oleh setengah golongan, menyebabkan mereka sering menjatuhkan hukuman salah ke atas orang lain dengan tidak mengambil kira keadaan, niat dan tujuan orang tersebut. Mungkin kesalahan itu merupakan satu perkara yang tidak disengajakan dan beliau tidak bermaksud dengan kejahatan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim rh dengan katanya: “Satu kalimah yang sama, diucapkan oleh dua orang yang berbeza, seorang bermaksud dengan kebatilan dan seorang lagi bermaksud dengan kebenaran, yang diambil kira (iktibar) ialah cara, pemikiran, mazhab dan ideologi yang didokong oleh orang yang berucap juga pegangan yang dipertahankannya”.

Kerana itu tidak dihukum kafir seorang yang kerana terlalu gembira sehingga tersalah mengatakan: ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu’, kerana dia tidak bermaksud menjadikan dirinya sebagai tuhan.
Sheikhul-Islam Ibnu Taimiyah rh menukilkan tulisan orang yang bercanggah dengan pendapatnya kemudian beliau mengatakan: “Kalam ini terlalu umum, orang yang inginkan kebenaran akan meletakkannya di tempat yang baik dan sebaliknya orang tidak menginginkan kebenaran akan memasukkan (menambah, menafsir, mentakwil) nya dengan bermacam-macam…”.

Inilah manhaj yang tinggi, sikap terbuka yang telah diterima oleh As-Salafussoleh… adil dan insaf yang telah digariskan oleh ulama’ ummah… mereka telah meletakkan perkataan yang mengandungi berbagai maksud di tempat yang baik… melapangkan dada yang terbuka, bebas dari pengaruh hawa nafsu, baik diri dan menasihati ummah… di mana kita dengan manhaj ini?
Bukan dari manhaj salaf menambah (menafsir, menghurai..) kan lafaz (yang tidak disebut) sehinggakan mengubah maksud, gembira dengan menyebarkan kesilapan orang dan bermuamalah sesama muslim dengan su’ uzzan, sangkaan jahat.

Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik iaitu dengan membesarkan kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan, tanpa meneliti sebab atau mencari keuzuran, setiap perkataan yang boleh ditafsir dengan maksud yang baik dan tidak baik, akan diambil yang tidak baik…Subhanallah! Bagaimana mereka menghukum dengan menafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?.
Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri untuk memuhasabahnya adalah ciri-ciri yang hanya tertentu bagi Allah swt Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak ada hak baginya ke atas saudaranya kecuali amalannya yang zahir, inilah amalan Salafussoleh yang terdahulu, yang telah penuh hati mereka dengan didikan Islam yang sempurna lagi bersih.

Sheikh Abdur Razzaq Radhiallahuanhu telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”. Maka setiap muslim hendaklah memuhasabah dirinya dengan setiap kalimah yang diucapkannya atau suatu hukum yang dikeluarkannya, sentiasalah mengingati firman Allah Taala (yang bermaksud): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang perkara yang dilakukan”. [Al-Isra’ 36].
Su’ uzzan atau sangkaan buruk terjadi daripada beberapa sebab, yang paling banyak terjadi ialah apabila seorang individu dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, buruk sangka, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati yang busuk.

Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan membawanya kepada perasaan zan dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya buta dan tuli dan apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya, akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya, walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikianlah juga sebaliknya, dia akan sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan kesilapan, walaupun orang itu benar pada dasarnya.
Sesetengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah, membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.
Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Islam telah begitu meluas di zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan (wehdah) di antara individu dan masyarakat muslim, ini adalah merupakan satu kesan negatif terhadap kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar.

Buruk sangka, menuduh tanpa asas, cepat menghukum telah menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang yang soleh telah dijauhkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang dahulu: ‘Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya’. Semuanya berpunca daripada percakapan yang tidak ada sandaran…hanya sangkaan yang buruk, umpatan jahat dan tuduhan palsu, firman Allah Taala (yang bermaksud): “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. [Al-Ahzab 58].
Setelah jelas kepada kita –wahai saudara- bahawa buruk sangka adalah satu penyakit yang merosakkan, maka kita mesti berusaha untuk membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.

Di antara ubatnya ialah: berbaik sangka (husnuzzan) dengan manusia, jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Sekiranya engkau tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina ‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
Ubat yang seterusnya: sentiasa mencari keuzuran yang boleh memaafkan manusia, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang jelas dan meninggalkan segala yang tersembunyi hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua rahsia dan segala yang tersembunyi.

Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”.



Sumber:
PERUTUSAN HARI RAYA 1422H DARI MIMBAR MASJID RASULULLAH SAW
Oleh: Sheikh Dr. Abdul Bari ‘Awad Ath-Thubaiti (Imam Masjid An-Nabawi)

Tiada ulasan: